Penantian Sebuah Pengiktirafan Kini Terhasil
30 September 2012 - Palestin memperoleh pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara selepas penantian selama 65 tahun.
Mereka melaporkan :
"Beribu-ribu orang meraikan kejayaan apabila Palestin memperoleh pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara selepas penantian selama 65 tahun. Sebelum ini, taraf negara Palestin ialah "non-member observer entity". Setelah memenangi undi di PBB, akhirnya Palestin dinaik taraf menjadi "non-member observer state"
Generasi muda Palestin pastinya akan mengingati tarikh penting berkenaan iaitu 29 November 2012. Kejayaan itu menjadi kenyataan biarpun sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat meningkatkan kempen agresif untuk menggagalkan undian Perhimpunan Agung.
Sebahagian besar perwakilan PBB mengundi mengiktiraf negara Palestin, satu kemenangan yang lama dicari rakyat Palestin dan merupakan kekalahan diplomatik memalukan bagi Amerika Syarikat. Sebelum ini, Palestin menolak cadangan supaya sebuah negara Yahudi dan Arab ditubuhkan selepas penjajahan British ke atas Palestin berakhir."
TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIYAH
Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi S.A.W yang
boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian
daripada tarbiah di dalam jamaah. Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada
tiga orang Sahabat Nabi S.A.W yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah
Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al Amiri dan Hilal bin Umayah Al Waqifi.
Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk.
Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain Baginda
menerima dari alasan mereka.
Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap
kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak
menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada
keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu
dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan Nabi S.A.W. Beliau menyangka
Baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana Baginda terus bertanya
beliau ketika di Tabuk.
Apabila Baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa
dengan Rasulullah S.A.W di masjid untuk meminta maaf, maka Baginda suruh beliau
balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah Taala. Baginda mengarahkan
jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam
di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat
yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan
daripada Allah Taala.
Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang
membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana Sahabat dan
saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu
dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan
Islam. Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka
menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan
keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala. Oleh kerana Hilal
bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah S.A.W
lalu ia bertanya, "Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang
yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku
melayaninya di rumah?"
Rasulullah S.A.W menjawab, "Tidak! Dia tidak boleh
mendekatimu!"
Isteri Hilal menjelaskan, "Ya Rasulullah! Ia sudah tidak
bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi
dosanya sejak saat itu hingga kini!". Maka Rasulullah tetap tidak
benarkan.
Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap
mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada Baginda S.A.W
memberi tahu bahawa Allah Taala telah mengampunkan mereka bertiga. Mendengar
berita itu Kaab terus sujud syukur
kepada Allah.
Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak
cerah dan gembira, katanya "Bergembiralah kamu pada hari ini! Inilah hari
yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!"
"Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?",
tanyaku sabar.
"Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!",
jawab Rasul S.A.W.
"Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah
kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku
daripada sikap jujurku kepada Rasulullah S.A.W", Kaab lalu membaca ayat
pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai
membasahi kedua pipinya.
"Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat)
mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu
luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah
mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepadaNya
saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya.
Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang" -
Surah At Taubah:118
Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada Para
Sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai
persiapan Baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah.
Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga
dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk
berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari.
Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpendapat
lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan,
"Ya".
Kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni
menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah
mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid
selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala.
"Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa
mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang
buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang" - Surah At Taubah:102
Rumusan Dari Kisah Ini
- Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
- Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri.
- Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
- Menguji keikhlasan seorang itu sama ada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
- Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.
- sumber: http://www.tarbawi.my